
Beliau berkata, dalam tempoh sama, seramai 63 kanak-kanak pada usia tersebut meninggal dunia akibat pandemik itu manakala kajian daripada 14 hospital kerajaan di seluruh negara mendapati, 174 kes sindrom keradangan berbilang sistem pada kanak-kanak (MISC) telah dikesan.
“(Daripada jumlah itu) 56% atau 100 kes MISC berlaku pada kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga 12 tahun dan 4% kematian…kanak-kanak boleh terjejas teruk (oleh Covid-19) dan kanak-kanak telah dibawa ke mana-mana.
“Prosedur operasi standard (SOP) telah dilonggarkan, orang ramai melancong, berkelah atau ke pusat beli-belah dengan membawa anak-anak mereka dan kini anak-anak kembali ke sekolah (namun), semua orang telah divaksinasi kecuali kanak-kanak,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV yang disiarkan hari ini.
Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) berkata, adalah penting untuk kanak-kanak diberi vaksin kerana mereka berisiko mendapat komplikasi akibat Covid-19 iaitu MISC yang menyebabkan keradangan dan komplikasi kepada pelbagai organ dan Covid-19 jangka panjang.
PICKids yang bermula pada 3 Feb menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 untuk melindungi golongan itu daripada jangkitan wabak itu.
Ia juga bertujuan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dibendung sekali gus mengelakkan kluster dalam kalangan murid.
Setakat semalam, seramai 206,748 atau 5.8% kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini menerima dos pertama vaksin Covid-19.