Pastikan ibu tunggal disatukan semula dengan anak, kata Ahli Parlimen kepada KPN

Pastikan ibu tunggal disatukan semula dengan anak, kata Ahli Parlimen kepada KPN

Ramkarpal Singh berkata polis mesti mengambil tindakan segera bagi membantu menyatukan Loh dengan anaknya kerana ia selaras dengan perintah mahkamah.

Loh Siew Hong, yang berpisah dengan suaminya membuat laporan polis untuk mendapatkan kembali anak kembar perempuannya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh meminta Ketua Polis Negara memastikan tiga kanak-kanak dibebaskan selepas terpisah daripada seorang ibu tunggal.

Ini susulan laporan polis yang dibuat ibu terbabit, Loh Siew Hong yang bercerai dengan suami dan ingin mendapatkan kembali anaknya yang kali terakhir berada bersama keluarga bekas suami.

Loh dimaklumkan bahawa semua anak-anaknya kini dalam jagaan pihak berkuasa agama di Perlis.

Ramkarpal yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP berkata, polis mesti mengambil tindakan segera bagi membantu menyatukan Loh dengan anaknya kerana ia selaras dengan perintah mahkamah supaya berbuat demikian.

“Saya meminta supaya KPN memastikan tindakan segera diambil untuk membebaskan semula anak-anak itu dari tempat mereka berada bagi membolehkan mereka bertemu semula dengan ibu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam memberikan Loh hak penjagaan dan hak penjagaan tunggal anak-anaknya sebagai sebahagian daripada prosiding perceraian dengan bekas suami, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengarahkan polis mengambil langkah perlu terhadap sesiapa yang menghalang penyatuan ibu itu dengan anak-anaknya.

“Sekiranya kanak-kanak itu berada di bawah jagaan pihak berkuasa di Perlis seperti didakwa, sudah pasti mereka harus dibenarkan pulang kepada ibu mereka berdasarkan perintah mahkamah tersebut dan sebarang keengganan untuk membenarkannya akan memberi hak kepada polis memasuki premis bagi memastikan pembebasan kanak-kanak itu,” katanya.

Ramkarpal berkata, perkara itu harus diselesaikan segera tanpa memerlukan tindakan undang-undang lanjut.

Loh dipisahkan daripada tiga anaknya – iaitu pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun.

Kali terakhir anak-anaknya dilihat adalah bersama keluarga bekas suami ketika dia berada di pusat perlindungan wanita selepas didakwa menderita akibat penderaan fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.