
Sumber SPRM berkata, pihak pengurusan MARA Corp akan diminta menjelaskan garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi itu.
“Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corp sejak minggu lepas, terdapat perbelanjaan mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Dis tahun lepas,” katanya kepada Bernama.
Sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.
Khamis lalu, SPRM dilaporkan memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi MARA Corp.
Mengenai perkembangan siasatan berhubung dakwaan salah laku dan integriti beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau berkata, 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.
Kataya, kertas siasatan kes itu dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut Khamis ini.
Pada 5 Feb lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.
Pada 7 Feb pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat.