Lebih 4,000 jawatan tetap untuk doktor tahun ini

Lebih 4,000 jawatan tetap untuk doktor tahun ini

Pelantikan itu akan berkuat kuasa Jun ini.

Kerajaan bersetuju mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi setiap tahun, mulai 2023 hingga 2025.
PETALING JAYA:
Berita baik buat ribuan doktor kontrak di seluruh negara kerana kerajaan bersetuju menawarkan 4,186 jawatan tetap kepada golongan itu tahun ini.

Lantikan tambahan itu berkuat kuasa Jun ini dengan iklan untuk jawatan berkenaan akan dikeluarkan bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah jawatan itu meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Katanya, Kabinet dalam mesyuarat 19 Jan lalu turut bersetuju sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diwujudkan setiap tahun, mulai 2023 hingga 2025.

Beliau berkata, 800 jawatan pakar perubatan dan 70 pakar pergigian juga akan diwujudkan setiap tahun, mulai tahun depan.

“Mereka akan melalui tapisan awal dan proses ini akan dibuat secara telus, adil, tanpa pilih kasih.

“Jika kita tidak memberi mereka jaminan kerja, mereka akan meninggalkan perkhidmatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Melalui keputusan terbaharu itu, katanya, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi akan diwujudkan sepanjang 2022 hingga 2025.

Khairy menjelaskan kerajaan melaksanakan dasar pengoptimuman sumber manusia untuk mengawal saiz perkhidmatan awam dan memastikan perbelanjaan awam berhemat pada 2015, yang menyebabkan tawaran jawatan tetap dihentikan.

Katanya, seramai 1,118 doktor, 1,019 pegawai pergigian dan 1,288 pegawai farmasi dilantik ke jawatan tetap dari Disember 2016 hingga akhir tahun lalu untuk menggantikan pegawai bersara.

Pada Julai 2021, kerajaan mengumumkan doktor kontrak, doktor gigi dan ahli farmasi akan ditawarkan kontrak dua tahun dan cuti belajar tajaan penuh untuk mengikut pengkhususan – tawaran saat akhir bagi meredakan doktor kontrak yang bakal mengadakan mogok.

Mogok di seluruh negara yang diketuai Hartal Doktor Kontrak (HDK) diteruskan pada 26 Julai, dengan ribuan golongan itu menuntut laluan kerjaya adil dan manfaat sama seperti pegawai perubatan berjawatan tetap.

Antara faedah itu ialah layak untuk latihan kepakaran di bawah skim tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang diluluskan Kementerian Kesihatan bulan lalu.

Doktor kontrak kini boleh memohon biasiswa persekutuan untuk mengikuti program latihan kepakaran di universiti kerajaan sambil bekerja – manfaat yang hanya diberikan kepada individu berjawatan tetap sebelum ini.

Mereka juga mahu jawatan tetap dengan pencen di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua doktor kontrak.

Walaupun beliau masih berusaha untuk doktor kontrak diberikan cuti dan elaun sama seperti doktor berjawatan tetap, Khairy hari ini berharap kerajaan akan cuba meningkatkan jumlah lantikan tahunan daripada 1,500 jawatan setahun ketika ini.

“Kabinet dan Perdana Menteri sangat prihatin dengan isu kesihatan awam. Dan walaupun ini tidak sepenuhnya memenuhi permintaan untuk lantik semua, kita sekarang dah ada tawaran baharu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.