Remaja 15 tahun tikam anak baru lahir hingga mati

Remaja 15 tahun tikam anak baru lahir hingga mati

Polis berkata, suspek yang belum berkahwin dipercayai adalah mangsa rogol dan lelaki yang melakukan perbuatan itu sudah dikenal pasti.

Polis berkata, remaja yang keciciran pelajaran sejak tiga tahun lalu itu dipercayai bersendirian di rumah ketika melahirkan anaknya.
PETALING JAYA:
Seorang remaja dipercayai menikam bayi lelaki yang baharu dilahirkannya di Kemaman, Terengganu, hari ini.

Mangsa yang merupakan anak sulung kepada gadis berusia 15 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan sebelum laporan polis dibuat kira-kira 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, hasil pemeriksaan menemui kesan tikaman di dada kiri bayi itu dengan penggunaan objek tajam.

Katanya, remaja yang keciciran pelajaran sejak tiga tahun lalu itu dipercayai bersendirian di rumah ketika melahirkan anaknya.

“Keluarga mangsa tiada di rumah dan suspek meminta bantuan rakan untuk menghubungi petugas kesihatan berhubung kelahiran itu.

“Bagaimanapun, petugas kesihatan mendapati bayi berkenaan sudah tidak bernyawa dengan kesan luka pada dada yang dipercayai ditikam dan polis kemudian menahan suspek bagi membantu siasatan,” katanya di lokasi kejadian menurut laporan Utusan Malaysia.

Hanyan berkata, suspek yang belum berkahwin dipercayai adalah mangsa rogol dan polis sudah mengenal pasti lelaki yang melakukan perbuatan berkenaan.

Katanya, mayat bayi itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, termasuk mengesan kecederaan lain pada anggota badan.

Ahli keluarga suspek yang enggan dikenali terkejut mengetahui mangsa hamil dan melahirkan bayi kerana sudah lama tidak berjumpanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.