Lasimbang bangkit isu NCA nak hidupkan semula kerjaya politik, kata pemimpin STAR

Lasimbang bangkit isu NCA nak hidupkan semula kerjaya politik, kata pemimpin STAR

Sedangkan, kata Kenny Chua, Adrian Lasimbang tidak mempunyai gambaran jelas mengenai tujuan perjanjian itu.

Naib Presiden STAR Kenny Chua berkata, tindakan bekas senator Adrian Lasimbang mempertikaikan NCA bersifat tergesa-gesa.
KOTA KINABALU:
Naib Presiden STAR Kenny Chua mendakwa bekas senator Adrian Lasimbang menggambarkan dirinya sebagai penentang utama Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) dengan niat untuk menghidupkan semula kerjaya politiknya yang singkat.

Katanya, tindakan Lasimbang yang mempertikaikan NCA dibuat secara tergesa-gesa dan tanpa gambaran jelas mengenai tujuan sebenar perjanjian itu.

“Beliau sebelum ini hanya beberapa tahun dalam politik bersama DAP dan kini dengan NGO. Beliau kini menggunakan NCA untuk menghidupkan semua kerjaya politiknya, tetapi apa yang telah dicapainya dalam tempoh singkat menjadi ahli politik, terutamanya ketika menjadi senator?” soal Chua dalam kenyataan semalam.

Chua berkata, Lasimbang sebelum ini tidak pernah bercakap dengan Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan mengenai NCA.

“Tiba-tiba beliau muncul dan mula menyerang (Kitingan) tanpa mengetahui gambaran sebenar serta tujuan perjanjian itu dibuat,” katanya.

Chua berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Lasimbang yang mengalu-alukan tindakan Kitingan menyamannya susulan komen berkenaan NCA kepada portal berita antarabangsa Al-Jazeera.

Terdahulu Kitingan berkata, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Al-Jazeera berhubung satu artikel yang disifatkan sebagai fitnah terhadap dirinya.

Beliau mengkritik artikel terbitan Al-Jazeera pada 2 Feb berkaitan perjanjian kredit karbon di Sabah dan kisah lama dikaitkan dengan dirinya sebagai “putar belit dan tidak bertanggungjawab”.

Dakwanya, artikel itu ditulis berdasarkan kata-kata “pemberi maklumat” semata-mata, tanpa membuat semakan dengan kerajaan negeri yang meluluskan NCA berkaitan perdagangan kredit karbon.

Katanya, beliau turut mempertimbangkan tindakan sama terhadap Lasimbang yang dipetik dalam artikel tersebut dan individu lain yang menyebarkan maklumat salah, khususnya yang berunsur fitnah terhadap dirinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.