Bekalan telur ayam dijangka terjejas hingga Ramadan

Bekalan telur ayam dijangka terjejas hingga Ramadan

Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia berkata penternak dan pengeluar mungkin memilih mengurangkan pengeluaran bagi menampung kos pengeluaran sekali gus menyebabkan bekalan terganggu.

Secara purata kos pengeluaran untuk sebiji telur ayam pada masa ini antara 36 sen hingga 40 sen sebiji, kata Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM) Lee Yoon Yeau.
PETALING JAYA:
Masalah kekurangan bekalan telur ayam di pasaran dijangka berlarutan sehingga Ramadan, yang didakwa berpunca akibat kenaikan kos pengeluaran penternak, kata Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM).

Timbalan Pengerusi FLFAM, Lee Yoon Yeau, berkata penternak dan pengeluar mungkin memilih mengurangkan pengeluaran bagi menampung kos pengeluaran masing-masing sekali gus menyebabkan bekalan akan terganggu.

Justeru, katanya, persatuan berharap supaya subsidi dedak diberikan kepada penternak dan pengeluar bagi mengatasi peningkatan kos dedak.

Katanya, secara purata kos pengeluaran untuk sebiji telur ayam pada masa ini antara 36 sen hingga 40 sen sebiji.

“Setiap hari kita memerlukan antara 30 juta hingga 31 juta telur untuk dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Mungkin kira-kira 10% (dua hingga tiga juta) sehari akan berlaku kekurangan pada Ramadan jika keadaan ini berterusan. Bergantung kepada ladang yang mampu keluarkan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, subsidi yang diharapkan daripada kerajaan pada masa ini bukan diasaskan untuk keuntungan, sebaliknya bagi meneruskan kelangsungan pengeluaran telur dan ayam daging di pasaran.

“Saya harap dapat dipercepatkan subsidi agar kita boleh ‘survive’, sekarang bukan untuk untung tetapi penternak dan pengeluar hanya minta untuk ‘hidup’ waktu ini.

“Selain itu kita minta kerajaan boleh berikan harga jualan kepada kita antara 40 hingga 42 sen sebiji kerana dari tahun lalu kita rugi antara 10 hingga 12 sen untuk sebiji telur,” katanya.

Mengulas lanjut, Yoon Yeau berkata, walaupun perjumpaan sudah diadakan bersama wakil kerajaan dan dipersetujui untuk diberikan subsidi, belum ada maklumat mengenainya.

“Sehingga hari ini belum ada makluman sama ada daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai hal ini.

“Saya rasa ramai penternak tidak akan tahan lagi dan mereka akan kurangkan pengeluaran bagi mengurangkan kerugian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.