Peniaga vape jangka jualan terus merosot

Peniaga vape jangka jualan terus merosot

Kumpulan advokasi berkata cadangan untuk melarang penjualan kepada golongan remaja adalah diluar jangkaan.

PETALING JAYA:
Rancangan kerajaan untuk mengenakan larangan separa ke atas penjualan vape ternyata mengejutkan industri itu.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) Rizani Zakaria berkata, industri itu menjangkakan lebih banyak peraturan akan ditetapkan oleh kerajaan susulan pengenalan duti eksais ke atas cecair vape, bukannya rancangan Putrajaya baru-baru ini untuk melarang penjualan produk vape kepada individu yang dilahirkan selepas 2005.

“Kita perlu fokus untuk mengawal selia industri dan kita masih menunggu maklum balas daripada kementerian berkaitan tentang peraturan itu,” katanya kepada FMT.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa kerajaan berharap untuk melarang penjualan vape bersama produk tembakau dan e-rokok kepada mereka yang dilahirkan selepas tahun 2005 melalui rang undang-undang yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Pengedar vape mengadu bahawa larangan itu akan menjejaskan (perniagaan) mereka dan memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk.

Seorang pembantu kedai vape di Subang Jaya berkata, jualan merosot sebanyak 30% sejak pengumuman mengenai cadangan duti eksais kerana pelanggan menyangka ia telah dikuatkuasakan.

“Buat masa ini, kami tidak tahu bila duti eksais itu akan dikuatkuasakan, tetapi kami menjangkakan jualan akan turun lebih banyak lagi,” katanya kepada FMT.

“Dengan cadangan larangan itu, sukar untuk meramalkan bagaimana perniagaan kami akan berjalan. Mungkin kami perlu mencari pekerjaan lain.

“Tidak ada apa-apa yang mampu kami buat selain menyuarakan pendapat dan berharap kerajaan mendengar keluhan.”

Dia merujuk kepada satu poster yang menggesa orang ramai menandatangani petisyen daripada MVIA meminta kerajaan menyemak semula kadar eksais tersebut.

Petisyen itu menerima lebih 10,000 tandatangan sejak ia dilancarkan kira-kira sebulan lalu.

Seorang lagi pemilik kedai vape di Subang Jaya berkata, larangan penjualan itu diibaratkan seperti “sudah jatuh ditimpa tangga”.

“Jika kerajaan meneruskan larangan itu, perniagaan saya boleh berdepan masalah yang serius,” katanya. “Dalam tempoh pandemik ini, perniagaan seperti kedai vape sudah bergelut. Jadi langkah mengenakan larangan jualan akan memberi kesan berganda yang lebih buruk.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.