Banyak sekolah tahfiz abai aspek keselamatan, kata bekas timbalan menteri

Banyak sekolah tahfiz abai aspek keselamatan, kata bekas timbalan menteri

Raja Kamarul Bahrin Shah percaya banyak yang tidak mendapat kelulusan berkait keselamatan premisnya.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberi kelulusan tidak boleh berkompromi mengenai keselamatan.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri menggesa pihak berkuasa memastikan sekolah tahfiz mematuhi peraturan keselamatan dengan ketat.

Mengulas mengenai kekerapan kejadian kebakaran di sekolah seperti itu, Raja Kamarul Bahrin Shah percaya banyak yang tidak mendapat kelulusan berkait keselamatan premis mereka.

Kebakaran terbaru berlaku minggu lepas di dua cawangan Maahad Tahfiz Assyatirie. Pada 24 Jan, seramai 240 pelajar terselamat daripada kebakaran di asrama sekolah cawangan Sungai Dedap di Yan, Kedah, tidak sampai dua hari selepas kebakaran berlaku di cawangan Kampung Dulang Besar dalam daerah sama.

Lebih 1,000 kebakaran berlaku di sekolah agama berdaftar dan tidak berdaftar dari Ogos 2015 hingga Ogos 2017. Daripada jumlah itu, 211 hangus terbakar, menurut bomba.

Raja Kamarul, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2018 hingga 2020, berkata pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberi kelulusan tidak boleh berkompromi mengenai keselamatan dan kualiti bahan yang digunakan untuk membina premis.

“Sesetengah pemilik sekolah agama mempunyai bajet yang terhad,” katanya.

“Mereka mengurangkan kos dengan menggunakan bahan binaan berkualiti rendah.”

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak boleh membenarkan sebarang campur tangan daripada ahli politik atau VIP dalam proses pemberian kelulusan.

Katanya lagi, beberapa sekolah membuat perubahan struktur bangunan tanpa kebenaran pihak bomba.

Mujahid Yusof Rawa.

“Pihak berkuasa mesti menjalankan pemeriksaan di sekolah-sekolah ini secara berkala untuk mengelakkan kemalangan berlaku,” tambahnya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandang serius soal keselamatan sekolah dan mempunyai “pendekatan bersepadu” dalam usaha menyelesaikan masalah kebakaran di sekolah tahfiz.

“Semasa pentadbiran PH, kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang mempunyai wakil daripada majlis tempatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk meneliti isu itu.

“PH memperuntukkan RM100 juta untuk usaha ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.