Pusat tak halang projek Kedah Aerotropolis, kata Sanusi

Pusat tak halang projek Kedah Aerotropolis, kata Sanusi

Menteri Besar Kedah berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, secara dasarnya bersetuju kerana projek terbabit membabitkan inisiatif pembiayaan swasta.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, berkata Kedah Aerotropolis diuruskan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Kerajaan persekutuan tidak mempunyai halangan meluluskan pelaksanaan projek berimpak tinggi, Kedah Aerotropolis, merangkumi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Mukim Sidam Kiri, daerah Kuala Muda.

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor, berkata ini kerana, projek berkenaan membabitkan inisiatif pembiayaan swasta dengan diuruskan KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Katanya, agensi itu yang bertanggungjawab mengendalikan pembangunan projek itu hampir menyiapkan konsep dan reka bentuknya sebelum dibentang untuk kelulusan kerajaan persekutuan.

“Saya telah menulis kepada Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan beliau secara dasarnya bersetuju kerana projek ini adalah PFI (private finance initiative)…dan kalau PFI kerajaan persekutuan tidak ada halangan.

“Pertama sekali perlu kepada kelulusan kabinet dan akan dimaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed yang bertanggungjawab ke atas Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta juga kemudian akan tengok tentang projek ini,” katanya menurut laporan Bernama.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity Holdings Ir Jamilus Hussein, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KXP AirportCity Holdings Nur Salman Saad, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif POS Aviation Mohamad Asif Abdul Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif KLIA College Fakri Zaki Mohammed Darus.

Terdahulu, Sanusi menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KXP AirportCity Holdings dengan POS Aviation dan KLIA College.

Beliau berkata, semua aspek berkaitan bagi menjayakan projek itu termasuk kewangan, pengambilan tanah dan keperluan teknikal juga telah selesai atau sedang diuruskan dengan baik.

“Saya tidak nampak apa-apa halangan lagi untuk kita bergerak sama-sama menjayakan satu projek berimpak tinggi bagi Kedah yang akan memberi manfaat kepada semua negeri-negeri di utara dan kepada Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai MoU itu, Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings, berkata POS Aviation dilantik sebagai pengendali akhir (end user) kargo udara dan operasi darat, sementara kerjasama dengan KLIA College pula berkaitan untuk melahirkan tenaga kerja yang diperlukan di Kedah Aerotropolis.

Kedah Aerotropolis yang dirangka untuk memacu transformasi ekonomi negeri ini akan dibangunkan di kawasan seluas 9,800 ekar (3,965 hektar) merangkumi pembinaan KXP selain industri sokongan termasuk Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) Hub.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.