
Naib Presiden Umno itu tidak hairan kenapa PAS dikatakan parti yang banyak ‘janda’ jika dilihat pada kelakuannya.
“Berapa kali (kerjasama gagal)? PAS kena buat keputusan betul-betul. Di Melaka dia pilih Perikatan Nasional, di Sarawak dia bertanding (menentang GPS). Kemudian di Johor dia kata nak dengan Barisan Nasional…selepas itu?” katanya dalam temubual FMT.
Katanya, Umno tidak mahu berunding dengan PAS dalam keadaan Umno kabur tentang parti itu, malah Khaled sendiri akui bahawa beliau “tak kenal ‘siapa’ PAS ini”.
Semalam, PN mengumumkan PAS akan bertanding PRN Johor bawah panjinya.
Khaled berkata parti yang mendukung Muafakat Nasional sepatutnya tidak bertembung satu sama lain, mengingatkan FMT bahawa PAS mengambil keputusan untuk bertanding atas lambang PN pimpinan Bersatu.
“Siapa yang menyukarkan (penyatuan PAS dan Umno)?” soal Khaled.
Katanya lagi, Umno tidak mahu menjalin hubungan dengan parti yang berubah-ubah keputusan dan pendirian “ikut musim”, katanya.
“Umno tak mahu jadi ‘janda’ kepada PAS tapi dia bila-bila boleh ‘jandakan’ Umno.
“Sekarang padan muka Bersatu, kemungkinan PAS boleh ‘jandakan’ dia,” katanya.