
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kedua pihak bertemu dalam satu majlis tertutup petang tadi.
“Setelah membuat perbincangan dalam penuh kemesraan, semua pihak yang terlibat telah pun mencapai kata sepakat dan bermaaf-maafan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau juga memaklumkan semua pihak terlibat berjanji tidak akan mengungkit kejadian tersebut demi menjaga ukhwah yang terbina antara mereka.

“Jambatan ukhwah antara Daniel dengan keluarga serta AJK masjid juga akan dibina dan diharapkan kejadian ini menjadi teladan kepada institusi lain dalam menjunjung semangat ukhwah,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Mufti Selangor, Miszairi Sitiris, dan peguam Daniel, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Menurut Rafique, pihak keluarga berterima kasih atas inisiatif pertemuan ini, kerana ia peluang untuk mereka meluahkan perasaan masing-masing.
Datuk kepada Daniel, Rosli Sidek, 65, ketika ditemui FMT berkata, cucunya itu sudah menunjukkan perubahan diri yang baik.
Ujarnya, Daniel bertemu dengannya dan memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
“Saya nampak perubahan dalam diri Daniel selepas terpalit dengan kejadian cubaan mencuri tabung masjid.
“Saya sendiri telah memaafkannya dan dia insaf dengan tingkah lakunya sebelum ini,” kata Rosli.
Rosli berkata, kini cucunya berada di sebuah institusi pemulihan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pihak media tidak berjaya menemubual Daniel.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti ‘jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada 8 Jan lalu.