
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata Sanusi mungkin sudah sedar ‘hanya hubungan akrab dengan Putrajaya’ mampu menjamin kelangsungan pentadbiran dan pembangunan negeri.
Beliau mengambil contoh Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud yang dahulunya agak lantang mengkritik Anwar, namun ‘berubah’ apabila memimpin negeri itu dengan mewujudkan suasana kondusif dan mesra sehingga negeri PAS berkenaan menerima manfaat peruntukan pembangunan dari pusat.
“Beliau (Sanusi) sebagai menteri besar sedar bahawa dalam konteks pemerintahan, hubungan di antara kerajaan pusat dan negeri penting untuk menjamin kelangsungan pembangunan dan juga faedah untuk rakyat.
“Kita lihat Kedah menghadapi banyak masalah dari sudut infrastruktur, misalnya air di mana sebahagian rakyat Kedah berdepan masalah itu,” katanya kepada FMT, mengulas permohonan maaf Sanusi kepada Anwar yang dibuat secara terbuka dalam satu majlis Aidilfitri di Kedah, baru-baru ini.
“Beberapa projek di negeri Kedah juga tidak berjalan lancar seperti dirancang… mungkin memerlukan perhatian daripada kerajaan persekutuan untuk membantu Kedah.”
Pada 4 Mei lalu, Sanusi berkata permohonan maaf dari beliau adalah bagi ucapan yang kurang sesuai dalam konteks ‘hablumminannas’ selama beliau berkhidmat sebagai menteri besar Kedah dan atas kapasiti politik.
Dalam ucapan terbukanya, beliau berharap persekutuan sentiasa memberi perhatian dan tidak meminggirkan Kedah.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata ‘gencatan politik’ antara Sanusi dan Anwar akan memudahkan Kedah meminta bantuan yang diperlukan.
Tambahnya, ‘keikhlasan’ Sanusi juga boleh diukur melalui manfaat yang diterima rakyat Kedah menerusi projek pembangunan yang dirancang persekutuan.
“Tak kisah ini adalah strategi politik Sanusi atau Anwar tetapi akhirnya adalah rakyat Kedah yang dapat manfaatnya dan berapa lama ia akan bertahan? Seboleh-bolehnya bertahan selama mana yang mampu.”
Disember tahun lalu, Anwar memfailkan saman terhadap Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ semasa kempen PRU15.