Remaja ‘dimandi jenazah’ semuka AJK masjid esok

Remaja ‘dimandi jenazah’ semuka AJK masjid esok

Pertemuan itu dijangka berlangsung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang selepas Asar.

Daniel Iskandar dikenakan hukuman khidmat masyarakat di masjid selama 120 jam bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh enam bulan.
PETALING JAYA:
Sesi bersemuka antara remaja yang tular dan dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap mencuri tabung Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang, awal bulan lalu dengan ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkenaan dijadualkan berlangsung esok.

Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sesi pertemuan yang disarankan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini sepatutnya diadakan minggu lalu.

Bagaimanapun katanya, ia ditunda kepada esok memandangkan remaja tersebut, Daniel Iskandar, 18, dimasukkan ke hospital selepas diserang sawan.

“Berdasarkan perancangan, ia akan dibuat di masjid berkenaan esok selepas waktu Asar.

“Selain PPMM, pertemuan itu dijangka dihadiri oleh Daniel dan keluarga serta pihak masjid,” katanya menurut laporan Kosmo.

Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di masjid berkenaan pada 11.58 malam, 8 Jan lalu.

Remaja itu turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi beberapa penduduk kampung berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 selepas dia mengaku bersalah mencuri tabung masjid dengan mengheret dan menyorokkannya dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan.

Dua hari kemudian, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret sebaliknya digantikan dengan khidmat masyarakat di masjid selama 120 jam bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.