
“Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.
“Apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata, terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan.
Baginda merujuk program vaksinasi khas Covid-19 petugas barisan hadapan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah petang tadi.
Sultan Sharafuddin berkata, baginda akan meneliti senarai nama guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah yang enggan menerima vaksin itu untuk menentukan bentuk tindakan yang akan diambil ke atas mereka.
Menurut baginda, pelbagai inisiatif dan cara dilaksanakan, termasuk kerjasama dengan JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) demi memastikan kesejahteraan umat Islam di Selangor.
“Ini termasuk memperluas dan mempermudahkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.”
Pada 2 Sept lalu, Sultan Selangor bertegas mahu pihak berkuasa mengambil perhatian terhadap ratusan guru sekolah kebangsaan di negeri itu yang enggan divaksin, sekali gus membahayakan nyawa pelajar mereka.