
Nornekman, 47, yang juga Timbalan Ketua parti Pejuang Johor berkata, meskipun bertanding atas tiket parti politik yang berbeza dengan bapanya, ia bukan penghalang baginya meneruskan legasi menabur bakti kepada masyarakat.
“Saya memang bersedia untuk bertanding dan jika boleh, mahu menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas kerana penduduk di situ amat dekat di hati kami sekeluarga, termasuk saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah menjadi wakil rakyat di situ.
“Bagaimanapun saya tetap akan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti melibatkan soal pencalonan dalam PRN Johor,” katanya di pejabat Pejuang Johor di sini, hari ini.
Osman, bekas ADUN Kempas yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, meninggal dunia di rumah anaknya di Kuala Lumpur pada 21 Dis 2021.
Mengulas mengenai Johor sebagai medan pertama Pejuang bertanding Nornekman berkata, parti itu mahu menghadiahkan kemenangan PRN Johor kepada pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, selain berharap kesihatan beliau beransur pulih.
“Bagaimanapun, lebih utama adalah beliau menjaga kesihatan diri ketika ini. Jika beliau tidak dapat turun secara fizikal sekalipun, beliau masih boleh membantu kempen melalui pelbagai platform lain, termasuklah menggunakan media sosial,” katanya.
Sabtu lepas, Ketua Pejuang Johor Saharuddin Mohd Salleh dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding secara sendirian dengan meletakkan 42 calon pada PRN Johor.