
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia selepas 26 lagi kluster kategori itu dikesan pada minggu epidemiologi (ME) keempat, sehingga semalam.
Katanya, peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan 2022 berbanding sesi persekolahan tahun lalu.
Beliau berkata, pada ME pertama 2022, hanya terdapat tiga kluster pendidikan direkodkan, namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME kedua dengan 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313% pada ME ketiga.
“Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3%) diikuti pendidikan lain (24.3%), pendidikan tinggi (20.6%), dan institusi pendidikan swasta berdaftar dengan KPM (2.8%).
“Daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes atau 88.3% sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes (2.4%) pula sudah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan.
Noor Hisham berkata, majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan, Kategori 1 dan 2 iaitu 99.7% atau 4,621 kes; manakala hanya 0.2% (12 kes) membabitkan Kategori 3 dan 4 yang kini berada dalam keadaan stabil.
Katanya, siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terhadap kes dan kluster yang dilaporkan mendapati ia berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan ketika di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama.
Katanya, individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas, murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin, pembersihan dan disinfeksi tidak dilakukan di ruangan tumpuan ramai secara berkala dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas juga asrama antara punca penularan.