
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, semua pesakit menunjukkan gejala ringan dan dalam keadaan stabil.
Daripada jumlah itu, enam kes di Sarawak, empat di Selangor dan dua di Kuala Lumpur.
Zaliha berkata, penilaian risiko peringkat global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan risiko jangkitan dan keseriusan kes disebabkan subvarian Arcturus lebih rendah daripada varian dan subvarian Covid-19 lain.
“Walaupun Malaysia mengenal pasti varian XBB 1.16 sejak Mac lalu, keadaan jangkitan Covid-19 masih terkawal dan tidak membebankan kapasiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengingati mereka yang bergejala supaya menjalankan ujian, melapor dan mengasingkan diri. Individu berisiko tinggi seperti golongan rentan, warga emas dan kanak-kanak digalak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak.
Katanya, jumlah kes Covid-19 berkurangan sebanyak 6.4% daripada 5,149 kes pada minggu epidemiologi (ME) ke-16 kepada 4,817 kes pada ME ke-15 berakhir 22 April lalu.
Arcturus ialah subvarian kepada varian Omicron yang mula dikenal pasti pada Januari dan dipantau WHO sejak 22 Mac.
Subvarian itu yang dikesan di 22 negara, termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom, kini menyebabkan lonjakan kes di India, yang menyaksikan negeri Haryana dan Kerala melaksanakan pemakaian pelitup muka semula.