
Beliau berkata pelbagai langkah intervensi dilakukan antaranya menyediakan bilik isolasi, memberi peringatan kepada guru, dan pelajar berhubung peningkatan wabak berkenaan serta meminta ibu bapa memantau tahap kesihatan anak-anak sebelum dihantar ke sekolah.
Bagaimanapun, beliau berkata, saringan ke atas murid di sekolah akan dilakukan mengikut keperluan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita menerima nasihat daripada KKM dari masa ke masa dan pemantauan sentiasa dilaksanakan oleh KKM dan KPM. Kita minta semua ambil serius tentang isu ini. Ini bukan wabak yang tidak pernah kita harungi dan kita tahu bagaimana ia tersebar dan bagaimana ia boleh dihentikan.
“Jadi, kita minta semua pihak mengawal dan mengambil perhatian tentang isu kesihatan masing-masing terutamanya ketika musim Hari Raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jerayawara Pendidikan Madani peringkat Selangor.
KKM sebelum ini memaklumkan sebanyak 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-13 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 Apr berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.