SPRM pandang serius CPI 2021, mahu semua pihak jalin kerjasama tingkat kedudukan negara

SPRM pandang serius CPI 2021, mahu semua pihak jalin kerjasama tingkat kedudukan negara

SPRM akan mengkaji hasil penemuan TI-M berkaitan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat.

Semua pihak harus mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa semua pihak meneruskan jalinan kerjasama dan bertindak sehaluan bagi meningkatkan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

SPRM juga menegaskan akan mengkaji hasil penemuan Transparency International Malaysia (TI-M) berkaitan skor negara dalam CPI 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat.

“Semua pihak juga harus mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini.

“Ini kerana suruhanjaya itu tertakluk kepada bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, kedudukan Malaysia turun lima anak tangga dalam CPI 2021 dikeluarkan Transparency International (TI) yang menyaksikan perbezaan ketara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Negara menduduki tempat ke-62 daripada 180 negara dalam laporan terbaharu itu – iaitu terendah sejak kaedah penilaian disemak pada 2012. Pada 2020, Malaysia berada di kedudukan 57, menurun sedikit daripada 51 pada 2019.

Dari segi skor, Malaysia juga turun kepada 48 daripada 100, berbanding 51 pada 2020.

SPRM berkata, ia memandang serius keputusan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 yang diumumkan TI-M hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.