2 remaja 13 tahun antara 5,200 ditahan atas kesalahan dadah

2 remaja 13 tahun antara 5,200 ditahan atas kesalahan dadah

Mereka antara 5,200 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan dadah menerusi 'Op Tapis Khas' selama tiga hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan gambar tangkapan suspek dan rampasan dadah ketika ‘Op Tapis Khas’ selama tiga hari minggu lalu.
KUALA LUMPUR:
Dua remaja berusia 13 tahun adalah antara 5,200 individu ditahan polis atas pelbagai kesalahan dadah menerusi “Op Tapis Khas” di seluruh negara selama tiga hari mulai Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, 942 orang adalah tokan dadah dan 2,894 lagi penagih dadah.

“Dua orang berusia 13 tahun itu ditangkap atas kesalahan penagih dadah, bukannya tokan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Beliau berkata, 212.6kg pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta turut dirampas dalam operasi tiga hari itu.

Katanya, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C, 12(2) dan 6 Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 30(3) Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

Ayob berkata, Op Tapis Khas akan dijalankan sebulan sekali di semua kontinjen di samping Program Jihad Dadah untuk mendapatkan impak lebih berkesan dalam membanteras ancaman dadah.

“JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di sekeliling mereka. Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.