
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor pada 9 Jan, pelbagai jenis dadah seberat 21.75kg dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.45 juta dirampas.
Beliau berkata, polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 43 hingga 53 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah bagi pasaran tempatan dan negara jiran.
“Suspek pertama berperanan sebagai ketua manakala yang lain ahli sindiket. Mereka menjadikan rumah teres sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor, lapor Bernama.
Beliau menambah, semakan rekod jenayah lampau mendapati empat suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.
Semua suspek positif dadah methamphetamine ketika ditahan serta direman sehingga 16 Jan.
Ab Rahaman berkata, antara bahan yang dirampas termasuk 15.29kg syabu, 5.37kg serbuk MDMA, 338.70g pil ecstasy, 798g ganja dan 159.50g pil Yaba, selain pelbagai peralatan menghisap serta pembungkusan semula dadah.
Jumlah dadah itu dianggarkan mampu merosakkan 98,203 orang, tambahnya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, menurut Ab Rahaman, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah sitaan bernilai RM616,010 melibatkan enam kereta, dua motosikal, wang tunai RM270,150 dan sebentuk cincin emas.