Ketua Hakim Syarie peroleh perintah mahkamah arah Lokman hapus kenyataan berunsur fitnah

Ketua Hakim Syarie peroleh perintah mahkamah arah Lokman hapus kenyataan berunsur fitnah

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu sebelum ini mendakwa Mohd Naim Mokhtar terlibat dalam beberapa kes gangguan seksual.

Ketua Hakim Syarie Mohd Naim Mokhtar mendakwa bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengeluarkan kata-kata bersifat menghina terhadapnya di Facebook dan YouTube.
KUALA LUMPUR:
Ketua Hakim Syarie Mohd Naim Mokhtar memperoleh perintah mahkamah terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam bagi menghalangnya membuat komen dan menghapuskan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung kes gangguan seksual.

Lokman mendakwa, Naim terlibat dalam beberapa kes gangguan seksual termasuk dikatakan berbogel dalam bilik tidur di rumah seorang wanita.

Peguam Naim, Akberdin Abdul Kader berkata, hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff membenarkan injunksi interlokutori hari ini dan menetapkan 7 Feb sebagai tarikh seterusnya untuk perbicaraan inter parte.

Semalam, Naim memfailkan saman terhadap Lokman dengan mendakwanya mengeluarkan kata-kata bersifat menghina terhadap Naim di Facebook dan YouTube.

Beliau berkata, kenyataan didakwa berunsur fitnah itu membayangkan bahawa beliau adalah seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

Naim berkata, beliau telah membuat laporan polis pada 12 Jan untuk menafikan dakwaan wanita itu yang dikatakan seorang “Datin” dan terhadap Lokman atas penyiaran video itu.

Beliau berkata, peguamnya telah mengeluarkan surat tuntutan terhadap Lokman pada 13 Jan untuk menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun beliau berkata, permintaan itu tidak dipenuhi Lokman.

Naim menuntut RM30 juta dalam bentuk ganti rugi am, teladan dan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.