896 AEFI berkaitan dos penggalak diterima, 42 serius, kata Hisham

896 AEFI berkaitan dos penggalak diterima, 42 serius, kata Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesan sampingan teruk ialah 0.05 bagi 1,000 dos penggalak.

Setiap laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) melalui proses terperinci bagi membolehkan KKM menjalankan siasatan, termasuk bedah siasat dan pandangan klinikal, sebelum mengesahkan sama ada kes disebabkan vaksin atau sebaliknya.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 896 daripada 24,286 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak diterima setakat 15 Jan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 896 AEFI itu, sebanyak 42 kes menerima kesan sampingan serius, manakala baki mengalami kesan sampingan minimum.

“Kalau dilihat jumlah dilaporkan itu, 0.4 untuk setiap 1,000 dos diberikan, bagi dos penggalak adalah 0.1 untuk 1,000 dos diberikan, manakala kesan sampingan teruk ialah 0.05 bagi 1,000 dos diberikan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam pada itu, Hisham berkata, sebanyak 9.2 juta dos penggalak telah diberikan kepada penerima hingga 15 Jan lalu.

Mengenai laporan miokarditis dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata, hanya satu hingga tiga kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak mendapat kesan miokarditis hasil vaksinasi, namun akan menjadi 36 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat miokarditis sekiranya tidak divaksin.

Berhubung perkembangan terkini AEFI melibatkan banduan Penjara Kajang, Hisham berkata, 13 daripada 18 laporan diterima telah selesai disiasat dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Farmakovigilan Khas Vaksin Covid-19 (JFK), pada 12 Jan lalu.

“Lima laporan lagi termasuk yang melibatkan kematian masih dalam siasatan…sementara hasil penilaian JFK berdasarkan laporan siasatan diterima, 10 daripada kes tersebut (selesai disiasat) dikenal pasti bukan disebabkan vaksin yang diterima banduan.

“Bagi tiga laporan lagi, kesan advers hanya berkemungkinan berlaku disebabkan oleh vaksin yang diambil,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, setiap laporan AEFI melalui proses terperinci bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan termasuk bedah siasat dan pandangan klinikal sebelum mengesahkan sama ada kes disebabkan vaksin atau sebaliknya.

Ditanya mengenai kebimbangan masyarakat berhubung dos penggalak yang dikaitkan dengan beberapa berita kematian yang tular dalam media sosial, Khairy berkata KKM akan mengeluarkan semua data AEFI berkaitan dos penggalak.

Sambil menyatakan sebahagian besar berita yang tular tiada kaitan dengan vaksinasi, beliau berkata, KKM akan menjalankan siasatan rapi terutamanya membabitkan kes kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.