Kemuka tuntutan palsu lebih RM25,000, pengarah syarikat dicekup

Kemuka tuntutan palsu lebih RM25,000, pengarah syarikat dicekup

Pengarah itu dipercayai mengemukakan dokumen palsu bagi proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.

Pengarah berkenaan dipercayai mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan sepanjang 2019.
PETALING JAYA:
Seorang pengarah sebuah syarikat ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah kementerian di Putrajaya.

Sumber berkata, suspek yang juga seorang wanita berusia 47 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru pada jam 2.30 petang hari ini.

Menurut laporan Berita Harian, penahanan itu dipercayai berkaitan proses tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen berjumlah lebih RM25,000.

Difahamkan, suspek mengemukakan dokumen palsu berbentuk invois dengan menggunakan nama syarikat lain kepada kementerian terbabit bagi proses tuntutan berkenaan sepanjang tahun 2019.

Menurut laporan berkenaan, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi mendapatkan perintah reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.