Dakwaan gangguan seksual ADUN Sedili: Beberapa individu dipanggil beri keterangan

Dakwaan gangguan seksual ADUN Sedili: Beberapa individu dipanggil beri keterangan

Polis Johor berkata pihaknya sudah menerima satu laporan balas dibuat pihak ADUN Sedili Rasman Ithnain terhadap laporan polis daripada mangsa.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya memerlukan masa dua ke tiga hari lagi untuk menyelesaikan siasatan dakwaan gangguan seksual membabitkan ADUN Sedili. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Beberapa individu sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual yang dibuat terhadap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sedili Rasman Ithnain.

Menurut Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, pihaknya turut menerima satu laporan balas dibuat oleh Rasman terhadap laporan polis daripada pengadu.

“Siasatan masih dijalankan, beberapa orang kita telah panggil untuk rakam percakapan dan pihak ADUN Sedili juga ada buat laporan polis terhadap laporan dibuat pengadu.

“Kita akan siasat secara adil dan perlu masa dua ke tiga hari lagi untuk selesaikan dan kita akan maklumkan keputusannya,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Kamarul berkata, polis sudah selesai mengambil keterangan daripada Rasman berhubung kes itu dua hari lepas.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 26 tahun yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada wanita terbabit di Balai Polis Kota Tinggi pada 11.30 pagi Isnin lepas.

Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.

Wanita itu, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.

Rasman kemudian dalam kenyataan mengulas laporan polis dibuat wanita terbabit menyifatkan tuduhan ke atasnya adalah konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai wakil rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.