Penemuan SC mengenai Azam mengejutkan dan tak boleh diterima, kata Gomez

Penemuan SC mengenai Azam mengejutkan dan tak boleh diterima, kata Gomez

Edmund Terence Gomez berkata, kenyataan ringkas SC mengejutkan dan kesimpulan inkuirinya 'tidak boleh diterima'.

Ahli ekonomi Edmund Terence Gomez berkata, kerajaan sepatutnya mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki bercuti sementara siasatan SC berjalan.
PETALING JAYA:
Edmund Terence Gomez, bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menggesa Putrajaya menubuhkan jawatankuasa bebas untuk meneliti pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Dalam kenyataan, Gomez berkata, ini penting kerana Suruhanjaya Sekuriti (SC) gagal memberikan alasan terperinci atas penemuannya mengenai perkara itu.

Ahli ekonomi itu berkata, kenyataan ringkas SC mengejutkan dan kesimpulan inkuirinya “tidak boleh diterima”.

“Alasan SC yang tidak dinyatakan mengapa ia tidak dapat menentukan secara muktamad kesahihan dakwaan terhadap Azam menimbulkan persoalan yang sangat membimbangkan: Mengapa semua percubaan untuk memulakan siasatan mengenai dakwaan ini tidak menghasilkan inkuiri yang lebih terperinci dan terbuka?

“Walaupun dakwaan ini dibangkitkan oleh media dan dibawa ke perhatian lembaga penasihat SPRM, namun tiada siasatan bebas dijalankan.

“Memandangkan SC tidak dapat memberikan pandangan termaklum mengenai dakwaan terhadap Azam, apa yang diperlukan sekarang ialah kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji perkara ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya mengarahkan Azam bercuti sementara siasatan SC berjalan.

Semalam SC berkata, ia tidak dapat “memastikan secara konklusif” sama ada Azam melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya selepas mengumpul bukti dan menyelesaikan siasatannya.

Azam kemudiannya menzahirkan kesyukuran atas kenyataan itu yang katanya, telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku, selain menambah, beliau dimaklumkan bahawa SC telah menutup inkuiri mengenai perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.