Tangkap Azam Baki: Kumpulan masyarakat sivil, sayap belia politik turun protes Sabtu

Tangkap Azam Baki: Kumpulan masyarakat sivil, sayap belia politik turun protes Sabtu

Mereka akan berkumpul di luar SOGO pada 11 pagi dan menjemput orang ramai turut menyertainya.

Urus niaga saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendapat perhatian umum sejak bulan lepas setelah beliau dituduh membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat senaraian awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan masyarakat sivil dan sayap belia parti politik akan turun ke jalanan di Kuala Lumpur pada Sabtu sebagai protes terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan menggesa penahanannya.

Gabungan 25 kumpulan yang membentuk Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan berkumpul di luar pusat beli-belah SOGO pada 11 pagi untuk menuntut beliau ditangkap serta-merta, proses undang-undang ke atasnya dimulakan segera dan SPRM diletakkan bawah bidang kuasa Parlimen.

Orang ramai turut dijemput untuk menyertai protes itu.

“Jika anda tidak bersama pada hari dan waktu tersebut, kibarkan bendera hitam dan gunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM pada setiap catatan media sosial anda,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Urus niaga membabitkan saham Azam mendapat perhatian umum sejak bulan lepas setelah beliau dituduh membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat senaraian awam.

Walaupun beliau menjelaskan bahawa saham itu dibeli oleh adiknya, Nasir Baki dengan menggunakan akaun dagangannya, penjelasan itu tidak dapat membendung kritikan terhadapnya.

Azam telah memfailkan saman sivil terhadap pemberi maklumat yang melaporkan dakwaan pegangan sahamnya dan sejak itu mendesak penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang dijadualkan esok bagi membincangkan perkara itu.

“Tekanan sebegini bersifat menutup cerita sebenar daripada terkeluar dan menimbulkan lebih banyak persoalan,” kata Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki.

“Pelbagai cadangan telah dikemukakan bagi menangani isu ini. Antaranya adalah penstrukturan semula SPRM, meletakkannya bawah Parlimen, menukar komposisi ahli SPRM dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Antirasuah.

“Walaupun begitu, semua ini sukar berhasil sehingga proses undang-undang bermula dengan penangkapan Azam oleh pihak berkuasa dilakukan dengan segera.”

Poster yang tertera “Tangkap Azam Baki” mula tersebar minggu lepas, namun butiran mengenai pihak di belakangnya atau apakah yang dirancang adalah terhad.

Antara anggota Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki adalah Bersih, Sekretariat Solidariti Rakyat, Suara Rakyat Malaysia, Persatuan Patriot Kebangsaan, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Parti politik MUDA, serta sayap belia PKR, DAP, Amanah, Pejuang dan Parti Sosialis Malaysia turut menjadi anggota.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.