
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Ramli Kasa berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian wanita berusia 56 tahun itu dicederakan anaknya pada 5.45 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 28 tahun itu dipercayai membunuh mangsa di ruang tamu kerana terdapat kesan darah di sekitarnya.
Katanya, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, sementara anak mangsa yang lain menyewa di kawasan berhampiran.
Ramli berkata, kejadian itu disedari salah seorang anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum beliau ke rumah mangsa.
“Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah.
“Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam belukar itu dan siasatan lanjut sudah dijalankan pasukan forensik,” katanya dalam kenyataan hari ini menurut laporan Berita Harian.
Ramli berkata, polis merampas parang yang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala ibunya dalam tandas rumah.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 22 Jan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.”