
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dibenarkan Majistret Nur Nabilah A Zainudin, selepas SPRM membuat permohonan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi tadi.
Difahamkan, suspek dipercayai mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di wilayah utara untuk menyertai tender pada 2018 dan 2019.
Sumber memaklumkan lelaki itu ditahan kira-kira 3.30 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberikan keterangan, sekali gus menjadikan 18 individu direman setakat ini berkaitan kes tersebut.
Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada 12 Jan lepas, media melaporkan 25 syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes mengemukakan penyata akaun bank yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan di sini antara 2018 dan 2019.
Sumber SPRM dipetik sebagai berkata, semua syarikat itu dipercayai melakukan perbuatan itu bagi melayakkan mereka mendapat kontrak lebih RM60 juta daripada syarikat pembersihan berkenaan.