Jelaskan siapa patut pakai baju lokap oren, kata Ahli Parlimen DAP

Jelaskan siapa patut pakai baju lokap oren, kata Ahli Parlimen DAP

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata terdapat banyak kekeliruan dan SPRM serta polis harus menjelaskan peraturan itu

Seorang individu yang dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini untuk perintah reman dengan pakaian lokap berwarna jingga dan digari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siapa yang patut memakai pakaian oren apabila mereka dihadapkan ke mahkamah untuk direman atau didakwa, harus diperjelaskan, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Beliau berkata terdapat banyak kekeliruan dalam perkara itu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis harus menjelaskan peraturan berkenaan.

Katanya, memandangkan setiap orang adalah sama di sisi undang-undang, semua yang dituduh mesti diberi layanan sama.

Lim berkata, polis dan SPRM harus menjelaskan mengapa individu tertentu tidak perlu memakai baju lokap.

“Sudah tiba masanya untuk SPRM dan polis menggubal dasar mereka yang akan menentukan kategori suspek yang diperlukan untuk memakai pakaian tahanan dan digari.

“Mereka yang ditahan untuk jenayah tanpa kekerasan harus dibenarkan memakai pakaian biasa tanpa digari jika dibawa ke mahkamah untuk reman,” kata Lim dalam kenyataan.

Minggu lalu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang diketuai oleh Speaker Dewan Negara Rais Yatim, berkata layanan “pilih kasih” tidak sepatutnya ada terhadap tahanan SPRM.

Rais berkata, suspek, tanpa mengira status mereka, harus memakai pakaian oren dan sambil menyatakan ada suspek tertentu diberi pengecualian.

“Malah mereka (suspek) memakai kot dan tali leher seolah-olah hendak menghadiri mesyuarat.

“Jika arahan itu adalah untuk memakai pakaian oren, ia harus digunakan untuk semua orang,” kata Rais yang dipetik dalam laporan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.