Perjelas kenapa tarik balik kes berkepentingan awam, Peguam Negara diberitahu

Perjelas kenapa tarik balik kes berkepentingan awam, Peguam Negara diberitahu

Presiden Badan Peguam AG Kalidas berkata ketelusan adalah perkara induk dalam kedaulatan undang-undang, selain menjadi asas keyakinan dan kepercayaan awam.

Presiden Badan Peguam AG Kalidas berkata, kuasa Peguam Negara mesti dilaksanakan dengan penuh ketelusan.
PETALING JAYA:
Badan Peguam menggesa Peguam Negara Idrus Harun memberikan sebab di sebalik keputusan untuk menarik balik kes-kes jenayah berkepentingan awam.

Presidennya AG Kalidas berkata, ketelusan adalah antara perkara induk dalam kedaulatan undang-undang, selain menjadi asas keyakinan dan kepercayaan awam.

Kalidas berkata, Peguam Negara mempunyai budi bicara meluas untuk memulakan prosiding dalam kes jenayah. Berikutan itu, beliau mesti telus dalam menggunakan kuasa itu.

Katanya, dalam kes yang boleh memberi kesan ke atas keyakinan awam terhadap pentadbiran dan tadbir urus, adalah lebih baik jika Peguam Negara memberikan sebab di sebalik keputusan untuk menghentikan sebarang prosiding tanpa mengira pihak yang terlibat.

“Kami memahami Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi budi bicara meluas kepada Peguam Negara untuk memulakan, melaksanakan atau menghentikan sebarang prosiding berkaitan kesalahan jenayah,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, budi bicara berkenaan bukannya sesuatu yang mutlak atau tiada hadnya.

“Jadi pendekatan secara berhati-hati dan perseptif diperlukan. Malangnya kekurangan maklumat hanya akan mencetuskan malah mengapi-apikan spekulasi yang tidak wajar,” katanya pada pembukaan tahun perundangan 2022 di Istana Kehakiman.

Pada November, Kalidas mendesak supaya Idrus memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Tengku Adnan Mansor dalam kes rasuah RM2 juta.

Ketika itu beliau berkata, alasan di sebalik tindakan menarik balik rayuan dalam kes berprofil tinggi seperti itu mesti didedahkan kepada umum bagi membuktikan akauntabiliti terhadap rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.