Mereka bukan hakim, jemaah masjid ‘mandi jenazah’ remaja boleh disiasat, kata Azalina

Mereka bukan hakim, jemaah masjid ‘mandi jenazah’ remaja boleh disiasat, kata Azalina

Azalina Othman Said berkata tiada siapa yang terkecuali daripada atau berada di atas undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK), Azalina Othman Said, berkata masyarakat tidak seharusnya bertindak sebagai hakim, pendakwa raya serta pihak pelaksana sabitan.
PETALING JAYA:
Tindakan jemaah masjid memandikan seorang remaja seperti jenazah boleh disiasat mengikut Seksyen 323 sertta Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial (JKPK), Azalina Othman Said, berkata jemaah masjid hanya boleh melakukan tangkapan awam atas kesalahan boleh dijamin dan tidak melengahkan tangkapan itu untuk diserahkan kepada polis.

“Pihak JKPK berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, ingin meneguhkan bahawa tiada siapa yang terkecuali daripada ataupun berada di atas undang-undang.

“Pada masa yang sama, pemimpin agama adalah tokoh masyarakat yang perlu menunjukkan dan menetapkan teladan dan contoh yang baik bagi masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya bertindak sebagai hakim, pendakwa raya serta pihak pelaksana sabitan.

“Pihak JKPK menegaskan bahawa ia adalah wajar dan munasabah untuk menghormati proses keadilan serta institusi kehakiman yang sedia ada, berbanding dengan percubaan untuk mentadbirkan keadilan secara peribadi,” katanya.

Katanya, video yang tersebar di media sosial itu keterlaluan dan membimbangkan, akan mengundang lebih banyak kemudaratan khususnya kepada aspek psikologi remaja berkenaan dan keluarganya.

Kejadian menimpa Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, yang dimandikan seperti jenazah dilakukan beberapa jemaah masjid sebagai hukuman mencuri tabung masjid di Rawang, pada 8 Jan.

Semalam, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel selepas dia mengaku bersalah mencuri tabung masjid itu.

Hari ini, FMT melaporkan imam terbabit dalam kontroversi memandikan remaja itu, sudah meletakkan jawatan berkuatkuasa, hari ini, selepas diminta berbuat demikian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Zawawi Ahmad Mughni, ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad mengenai tindakan wajar yang sudah diambil kepada imam berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.