Kerajaan cari ‘jalan tengah’ sebelum Jun bentang pemisahan peguam negara, pendakwa raya

Kerajaan cari ‘jalan tengah’ sebelum Jun bentang pemisahan peguam negara, pendakwa raya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata perbincangan bersama NGO, AGC, dan parti politik masih berjalan.

AZALINA OTHMAN SAID
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata perbincangan ketika ini tertumpu kepada bagaimana rangka kerja Perlembagaan akan memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan berharap dapat mencari ‘jalan tengah’ sebelum Jun ini dalam usaha memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Beliau berkata, Putrajaya terus mengumpul pandangan NGO, Jabatan Peguam Negara, dan parti politik sebelum membentangkan pindaan Perlembagaan.

“Kami sedang cuba mencari jalan tengah,” katanya selepas sesi libat urus bersama NGO di bangunan Parlimen.

Antara pihak yang hadir mesyuarat tertutup selama satu jam setengah itu termasuk wakil daripada Bersih, Projek Sama, Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Persatuan Undang-undang Sabah (SLS), Transparency International Malaysia, dan Rasuah Busters.

Pada 3 Mac, kerajaan umum rang undang-undang untuk memisahkan fungsi dwiperanan peguam negara telah ditangguh dan dirujuk kepada Jawatankuasa Parlimen yang baru ditubuhkan.

Azalina berkata, perbincangan pada masa ini tertumpu kepada bagaimana rangka kerja Perlembagaan akan memisahkan kedua-dua peranan berkenaan, manakala perincian operasi akan ditangani kemudian.

Beliau berkata, perkara utama dibangkitkan NGO dan organisasi masyarakat sivil (CSO) adalah keperluan penglibatan Parlimen yang lebih besar dalam proses pelantikan, atas dasar Parlimen mewakili suara rakyat.

Azalina berkata, pengaruh politik dalam proses tersebut kekal menjadi kebimbangan. “Anda tidak boleh lari daripada membincangkan pengaruh parti politik apabila membincangkan mengenai Parlimen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.