Bayaran pampasan melalui khidmat masyarakat boleh dipertimbang, kata Azalina

Bayaran pampasan melalui khidmat masyarakat boleh dipertimbang, kata Azalina

Menteri undang-undang berkata, penelitian mengenai jenis pampasan perlu dilihat secara meluas, terutamanya dari segi keupayaan pihak bertanggungjawab.

AZALINA_OTHMAN
Azalina Othman Said ulas laporan media mengenai AGC teliti cadangan tubuh tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.
PUTRAJAYA:
Restitusi atau bayaran pampasan kepada pihak yang berhak bagi memulihkan kerugian atau ketidakadilan melalui khidmat masyarakat sebagai alternatif boleh dipertimbangkan melalui tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, penelitian melibatkan jenis pampasan perlu dilihat secara meluas terutamanya orang perseorangan dan keupayaan pihak bertanggungjawab.

“Bagi saya isu pampasan ini dalam Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Jenayah, kita tengok pada aspek secara meluas,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice on Wheels dan Pentauliahan Pegawai Pengantara Jabatan Bantuan Guaman.

“Sebagai contoh, saya ada sebut tentang ‘corporate manslaughter’ untuk kes pemandu bas cuai. Kita nak syarikat bertanggungjawab dan bila syarikat bertanggungjawab, takkan kita nak syarikat masuk penjara.”

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media baru-baru ini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti cadangan penubuhan tribunal khas bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah.

Media melaporkan, Peguam Negara Dusuki Mokhtar yang mengesahkan perkara itu berkata, cadangan berkenaan memerlukan kajian terperinci bagi memastikan keberkesanannya dari segi pelaksanaannya jika direalisasikan kelak.

Penubuhan tribunal khas itu dicadangkan susulan beberapa pihak termasuk ahli politik dan pakar undang-undang yang mahu pampasan diberikan kepada keluarga mangsa maut akibat jenayah termasuk kemalangan.

Azalina berkata, keadaan berbeza jika ia membabitkan organisasi yang dipertanggungjawabkan dengan ganti rugi dianugerahkan kepada keluarga mangsa kerana ia boleh termasuk dalam pakej hukuman dikenakan.

Beliau berpandangan, tribunal dicadangkan itu memerlukan sedikit penyesuaian, berikutan jenis pampasan berkenaan tidak semestinya dalam bentuk kewangan, dengan mengambil contoh daripada amalan beberapa negara luar yang melaksanakan restitusi dalam bentuk kerja sosial.

“…sebab di beberapa negara, tak semestinya itu (melibatkan) duit, mungkin boleh buat kerja-kerja sosial,” katanya.

Antara negara yang melaksanakan restitusi melalui khidmat masyarakat ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan Jerman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.