Lokman diguna pihak tertentu dakwa Ketua Hakim Syarie lakukan gangguan seksual, kata peguam

Lokman diguna pihak tertentu dakwa Ketua Hakim Syarie lakukan gangguan seksual, kata peguam

Video Facebook bekas pemimpin Umno Lokman Adam mengenai dakwaan bahawa seorang hakim melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang sudah berkahwin, mengakibatkan dia menerima tuntutan saman.

Peguam mewakili Ketua Hakim Syarie berharap saman terhadap Lokman Noor Adam akan memaksa bekas pemimpin Umno itu mendedahkan identiti pihak yang ‘mempergunakannya’.
PETALING JAYA:
Peguam yang mewakili Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar percaya bekas pemimpin Umno Lokman Noor Adam sedang “digunakan” oleh pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik anak guamnya dengan dakwaan gangguan seksual.

Peguam Na’im, Akberdin Abdul Kader, berkata individu-individu ini juga “mendalangi” keseluruhan kejadian dengan “menggunakan wanita itu” untuk menyingkirkan anak guamnya daripada jawatannya.

Dalam laporan polis bulan lalu, seorang wanita berkahwin mendakwa hakim itu berbogel di bilik tidurnya ketika dia ke rumahnya pada Ogos 2020.

Video memperincikan dakwaan itu yang dimuat naik ke Facebook Lokman pada Isnin lalu menyebabkan bekas pemimpin Umno itu menerima surat tuntutan fitnah daripada firma Akberdin, dengan peguam itu memaklumkan FMT bahawa beliau yakin Lokman tidak bertindak bersendirian.

Na’im menafikan dakwaan gangguan seksual dalam laporan polis yang dibuatnya semalam, di mana beliau turut menggesa polis mengambil tindakan terhadap Lokman.

Sambil menyatakan ada pihak dalam jabatannya yang mahu menjatuhkan dan merampas jawatan beliau, Na’im turut memberikan polis nama individu berkenaan.

“Fokus kami adalah Lokman, dan bergantung sejauh mana kami akan pergi seterusnya, kami akan putuskan tindakan lanjut kemudian,” kata Akberdin ketika ditanya sama ada anak guamnya bercadang menyaman individu berkenaan.

“Ada orang yang iri hati terhadapnya. Beliau (Na’im) naik ke puncak sangat cepat dan memintas orang-orang ini, jadi mereka cemburu.

“Kami akan sediakan writ saman minggu depan dan melaluinya, kami akan mendapatkan butiran lanjut siapa yang mempergunakan beliau (Lokman).

“Kami masih mengkaji siapa di sebalik dakwaan ini, dan apabila beliau (Lokman) mahu membuat penyelesaian, kami akan tanya beliau butiran lanjut mengikut syarat penyelesaian kami.”

Dalam laporan polis yang difailkan bulan lalu, pengadu, seorang wanita berusia 57 tahun, mendakwa pada satu malam pada Ogos 2020 hakim berkenaan datang ke rumahnya ketika suaminya terlantar sakit dan mohon dibenarkan menumpang bilik tidur untuk solat.

Dalam aduannya, pengadu itu berkata, dia mendapati hakim berkenaan berada terlalu lama dalam bilik dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu sedang tidur di atas katil dalam keadaan bogel.

Akberdin mendakwa individu berkenaan sebelum ini cuba menjatuhkan Na’im dengan mengaitkannya dengan wanita lain, namun percubaan itu tidak berjaya.

“Reputasinya telah rosak teruk, jadi kami perlu bertindak pantas dan menunjukkan kekuatan kami,” kata Akberdin.

“Lokman tiada bukti. Anak guam saya memegang jawatan tinggi, jadi Lokman perlu memastikan beliau bercakap benar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.