Azam perlu sukarela beri keterangan kepada Jawatankuasa Parlimen, kata Kit Siang

Azam perlu sukarela beri keterangan kepada Jawatankuasa Parlimen, kata Kit Siang

Azam Baki perlu menjelaskan isu membabitkan dirinya dalam PSC penting bagi menjawab segala pertuduhan konflik kepentingan untuk menghilangkan sebarang keraguan terhadap integritinya.

Lim Kit Siang menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membentangkan laporan isu membabitkan Azam di Dewan Rakyat, selepas sidang khas Parlimen mengenai banjir yang akan bermula 20 Januari.
PETALING JAYA:
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan supaya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hadir secara sukarela dan menjawab segala persoalan berbangkit berhubung isu pemilikan saham membabitkan dirinya dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), Rabu depan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Azam perlu menjelaskan isu membabitkan dirinya dalam PSC bagi menjawab segala pertuduhan berhubung konflik kepentingan bagi menghilangkan sebarang keraguan terhadap integritinya, seterusnya membolehkan perkara itu diselesaikan segera.

“Untuk memastikan keresahan yang timbul akibat skandal Azam dapat dapat diredakan secepat mungkin, saya mencadangkan agar Azam secara sukarela hadir di hadapan PSC pada 19 Januari untuk menjawab sebarang soalan mengenai dakwaan konflik kepentingan membabitkan dirinya bagi membersihkan namanya daripada sebarang keraguan tentang integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“…kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan kepada negara sehinggakan krisis keyakinan yang paling teruk terhadap SPRM berhubung integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM berlarutan untuk lebih daripada sehari,” katanya dalam kenyataan.

Lim turut menggesa PSC membentangkan laporan isu membabitkan Azam di Dewan Rakyat selepas sidang khas Parlimen mengenai banjir yang akan bermula 20 Januari.

“Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, juga perlu bersedia untuk mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan mengenai skandal Azam pada 21 Januari 2022,” katanya.

PSC yang bertanggungjawab bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat Rabu depan bagi membincangkan isu berkaitan pemilikan saham didakwa membabitkan Azam.

Dalam sidang media pada 5 Jan lalu, Azam berkata, dia telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun banknya telah digunakan adiknya, Nasir, untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang sebelum ini juga menjelaskan bahawa Azam tidak melakukan sebarang kesalahan berkait pembelian saham berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.