Azam sedia disiasat jawatankuasa bebas isu pemilikan saham

Azam sedia disiasat jawatankuasa bebas isu pemilikan saham

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata beliau tiada perkara disembunyikan dan mengalu-alukan siasatan telus susulan berhubung laporan Bloomberg.

AZAM BAKI
Semalam, Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan mendakwa beliau memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bersedia disiasat jawatankuasa bebas berhubung laporan mendakwa beliau memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Azam dalam kenyataan berkata, beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi.

Malah sebagai penjawat awam dan ketua agensi penguatkuasaan, beliau percaya mana-mana individu berdepan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia disiasat secara bebas serta telus.

“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.

“Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi,” katanya.

“Tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.”

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.