
Memetik laporan Utusan Malaysia, sumber berkata, SPRM kini dalam peringkat kajian aduan yang dibuat sebelum siasatan lanjut dibuat.
“Difahamkan, SPRM sedang mengkaji aduan yang diterima sebelum siasatan dijalankan.
“Penelitian dan kajian berkenaan meliputi semua aspek termasuk terhadap bukti-bukti yang dikemukakan pengadu sebelum kertas siasatan dibuka sekiranya didapati wujud kesalahan,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, SC meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan pihak yang mendakwa beliau memiliki saham supaya menjelaskan serta mengemukakan bukti-bukti berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat tersenarai.
Ia bagi siasatan SC di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) bahawa setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.
Selain itu, penjelasan Azam diperlukan mengikut Seksyen 29A SICDA mensyaratkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti seharusnya hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti itu atau penama yang diberi kuasa.
Tuntutan penjelasan itu diperlukan selepas Azam pada sidang medianya baru-baru ini menjelaskan bahawa pemilikan saham yang mencetuskan kontroversi selepas adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham.
Pada masa yang sama, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada SPRM mengenai salah laku dan jenayah rasuah membabitkan pengurusan tertinggi SC semalam.
Laporan yang dibuat empat anak muda mewakili rakyat Malaysia prihatin mendakwa mempunyai bukti kukuh dan tidak menafikan salah laku ini turut membabitkan ahli politik yang berjawatan penting dalam kerajaan.
SPRM digesa menjalankan siasatan kerana banyak syarikat di negara ini menjadi mangsa termasuk juga orang awam.
Dalam aduan yang dibuat itu, sebanyak tiga kes akan dirujuk kepada SPRM, iaitu kes pertama melibatkan anak pengurusan tertinggi SC yang turut mendapat jawatan tertinggi dalam syarikat yang disiasat oleh SC itu dan kemudiannya ditutup oleh SC.
Kes kedua berkaitan konflik kepentingan ahli Lembaga Pengarah SC membabitkan saham bernilai RM28.2 juta yang menyaksikan ahli lembaga pengarah terbabit memiliki kepentingan di dalam syarikat yang mempunyai hubungan kerja dengan SC.
Manakala kes ketiga pula melibatkan pegawai tinggi SC yang menerima rasuah sebagai balasan untuk menutup siasatan SC ke atas syarikat awam yang melakukan kesalahan dagangan orang dalam.