
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.
Harian Metro melaporkan, ketiga-tiga suspek sebelum itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada jam 8.25 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Mereka diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin.
Media malam tadi melaporkan bahawa seorang bekas pengurus syarikat GLC yang baru sahaja selesai direman berhubung kes rasuah bagi mendapatkan kerja kontrak perladangan telah ditahan semula oleh SPRM petang semalam.
Suspek berusia 61 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan satu lagi kes penyalahgunaan kuasa membabitkan pemberian projek kepada dua anaknya.
Dia sepatutnya dibebaskan daripada tahanan reman semalam berkaitan kerja kontrak perladangan, selepas direman sejak 6 Januari lalu.
Suspek ditahan di Pejabat SPRM di sini bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara pukul 4 hingga 4.30 petang semalam.
Pada 6 Januari lalu, bekas pengurus syarikat GLC itu ditahan sebelum direman bersama seorang lagi pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes kontrak perladangan berkenaan.
Pengurus syarikat berusia 61 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat semalam.
Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat memberikan beberapa kerja projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.
Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan dua anaknya itu.