
A Srimurugan berkata, sebarang proses undang-undang lain akan menangguhkan siasatan sedemikian, sia-sia dan membuang masa.
“Hanya pendakwa raya boleh merangka tuduhan untuk membuktikan kesnya di mahkamah berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh agensi yang mempunyai kuasa undang-undang,” katanya.
Agensi tersebut termasuk polis, SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi yang menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan terhadap Azam berhubung isu pemilikan saham korporat.
Veteran DAP Lim Kit Siang pula berkata, kontroversi yang menyelubungi Azam akan diselesaikan dengan lebih baik jika pegawai tertinggi SPRM itu bersedia menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membersihkan namanya daripada dakwaan wujudnya konflik kepentingan.
Majlis Peguam turut menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini.
Minggu lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Ujang berkata, lembaga itu telah membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku.
Bagaimanapun, enam ahli LPPR kemudian menjauhkan diri daripada pandangan Abu Zahar dengan berkata, lembaga itu tiada sebarang kuasa penyiasatan.
Azam disiasat sama ada beliau melanggar mana-mana undang-undang berhubung pemilikan saham dalam syarikat senaraian awam dan kerana membenarkan akaun dagangannya digunakan adiknya pada 2015.
Suruhanjaya Sekuriti berkata, ia akan menyoal Azam mengenai perkara itu.
Kata Srimurugan, siasatan ke atas Azam boleh diselesaikan dengan lebih cepat jika ia dijalankan oleh agensi penguatkuasaan yang mempunyai kuasa untuk menangkap dan merampas dokumen.
RCI contohnya hanya boleh bertindak berdasarkan terma rujukan yang disediakan kerajaan dan hanya boleh menyediakan penemuan untuk tindakan lanjut oleh agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwa raya, katanya.
“Ini akan menjadi satu pembaziran masa dan sumber kerana RCI tidak membuat keputusan,” katanya, selain menambah bahawa inkuiri mengenai isu-isu berkait kepentingan awam sebelum ini tidak memuaskan.