
Tiada undang-undang untuk menghalang pemaju projek baharu daripada menggunakan sistem perparitan sedia ada, kata peguam Sachpreetraj Sohanpal.
Persatuan penduduk Taman Sri Muda memberitahu FMT baru-baru ini, terdapat longkang yang menghala ke saluran pengairan mereka daripada pembangunan baharu di kawasan itu, dan air dari kawasan hulu lain meningkat tiga kali ganda daripada jumlah yang dapat dikendalikan oleh sistem saliran kawasan itu.
Sachpreetraj berkata, mengikut undang-undang, semua bangunan baharu mesti mempunyai longkang untuk mengalirkan air keluar dari kawasan itu seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagaimanapun, air dari bangunan bersebelahan dengan yang sedia ada boleh dibawa keluar melalui “operasi gabungan” jika dibenarkan PBT.
Beliau berkata, pemaju projek baharu mesti mendapat kelulusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun terpulang kepada PBT untuk membenarkan rancangan ini.
“Tidak mengapa jika infrastruktur saliran sedia ada boleh menyokong pembangunan baharu, tetapi hanya jika pembangunan baharu itu berhampiran dengan yang lama,” katanya.
“Apa yang penting adalah sama ada perancangan, kelulusan dan semakan sebenar keperluan perparitan telah dilakukan oleh PBT dan pemaju.
“Jika ada masalah dengan perparitan yang diluluskan, ia mungkin kerana pelan yang ditetapkan tidak mencukupi atau tidak dirancang dengan baik – atau pemaju gagal membina longkang mengikut spesifikasi yang sepatutnya.”
Berhubung dakwaan oleh penduduk Taman Sri Muda bahawa kawasan perbandaran lain menggunakan longkang mereka, beliau berkata, pemaju kawasan terbabit tiada alasan undang-undang yang sah untuk membuat sambungan ke longkang Taman Sri Muda.
“Jika PBT mengarahkan pemaju menggunakan saliran sedia ada, apa justifikasi mereka? Jika PBT tidak meluluskan penggunaan saliran sedia ada, kenapa pemaju berbuat demikian? Adakah ia dilakukan secara haram? Ini adalah persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa tempatan dan pemaju,” katanya.
Sementara itu, seorang arkitek berkata, pemaju mesti mematuhi garis panduan JPS.
“Kebanyakan saliran kemudiannya diserahkan untuk dikendalikan oleh sama ada PBT atau JPS,” kata Ou Yang Chow Min.
FMT telah meminta komen daripada JPS, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Master Builders Association Malaysia.