
Jurucakap Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (MICCI) menyifatkan cadangan itu sebagai tidak praktikal.
Cadangan itu dilontarkan oleh ahli ekonomi, Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran baru-baru ini.
Ferlito berkata, usaha sektor swasta untuk membantu pekerja yang memerlukan adalah lebih baik berbanding mengeluarkan simpanan dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden MEF Syed Hussain Husman berkata, dana seumpama itu tidak akan menyelesaikan isu yang timbul akibat bencana alam.
“Perlu diingatkan bahawa bencana alam bukanlah isu hubungan majikan-pekerja. Bencana alam dan akibatnya perlu diuruskan oleh kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Majikan telah pun menyediakan banyak faedah kepada pekerja seperti cuti bergaji, cuti tahunan, insurans kelompok, perlindungan perubatan dan kemasukan ke hospital serta banyak lagi.
“Tidak praktikal untuk mewujudkan dana secara dalaman untuk memberi perlindungan akibat bencana alam.”
Syed Hussain berkata, buat masa ini, sektor perniagaan kini sibuk untuk pulih daripada kesan pelaksanaan sekatan penuh yang panjang akibat pandemik Covid-19 serta operasi yang terjejas akibat banjir.
Katanya, kebanyakan majikan berdepan cabaran aliran tunai dan tidak dapat menerima sebarang cadangan yang mengenakan kos tambahan.
Beliau berkata, semua rakyat perlu diberi perlindungan skim insurans negara untuk bencana alam.
“Mereka yang mampu boleh membayar premium insurans manakala yang tidak, kos itu harus ditanggung oleh kerajaan.
“Skim insurans negara terhadap bencana alam akan menghapuskan amalan ad hoc semasa untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas akibat bencana alam,” katanya.

Pengarah Eksekutif MICCI Shaun Cheah berkata, pentadbiran dana yang dicadangkan itu boleh menimbulkan isu tadbir urus dan pengurusan.
“Terdapat banyak kes salah guna dana apabila diuruskan oleh wakil pekerja,” katanya.
“Syarikat juga mungkin menggunakannya untuk tujuan pelaburan. Bagi dana yang diuruskan secara persendirian, isu seperti bila, siapa dan di bawah syarat atau berapa jumlah yang akan dibayar, akan timbul.
“Bagaimana dengan pekerja yang menyumbang dan telah meninggalkan syarikat?”
Katanya, adalah lebih baik untuk individu mendapatkan insurans bencana yang diuruskan oleh syarikat insurans pihak ketiga dan majikan boleh memberi subsidi bayaran premium untuk pekerja mereka.