Petronas temui gas di perairan Sarawak

Petronas temui gas di perairan Sarawak

Petronas berkata, telaga Hadrah-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 1,850m pada Nov lalu, dan gas ditemui dalam jujukan tebal batu pasir dan takungan karbonat berkualiti tinggi setebal kira-kira 200m.

Petronas berharap dapat menawarkan lebih banyak gas asli, bahan api fosil terbersih, selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), menemui gas dalam telaga cari gali “wildcat” Hadrah-1 di Blok SK411, di perairan cetek wilayah Balingian, kira-kira 170km barat laut dari pesisir Sarawak.

Telaga “wildcat” bermaksud yang belum terbukti wujudnya minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tidak mempunyai rekod pengeluaran kukuh atau dieksploitasi sepenuhnya sebelum itu sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.

Menurut syarikat minyak negara itu, Hadrah-1 merupakan penemuan gas ketiga Petronas di wilayah tersebut pada 2021, selepas Sirung-1 dan Kulintang-1 pada Mac serta Mei lalu, manakala pada 2019, minyak dan gas juga ditemui di kawasan sama di medan D18.

Petronas menjelaskan telaga Hadrah-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 1,850m pada Nov lalu dan gas ditemui dalam jujukan tebal batu pasir dan takungan karbonat berkualiti tinggi setebal kira-kira 200m.

“PCSB ialah pengendali blok itu dengan 90% kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran. Baki 10% dipegang E&P Malaysia Venture Sdn Bhd,” menurut Petronas dalam kenyataan.

Naib Presiden Cari Gali dan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, penemuan gas dalam telaga cari gali “wildcat” Hadrah-1 oleh PCSB membuktikan kemungkinan menemui minyak dan gas, selain kemudian dijangkakan boleh dibangunkan secara komersial bagi kawasan Kitaran I, II dan III yang belum diteroka di wilayah Balingian.

“Kualiti takungan terbaik yang ditemui menandakan baki potensi yang ada di kawasan sekitar dengan PCSB berada pada kedudukan baik untuk meneruskan usaha di kawasan sama yang belum dimanfaatkan di Blok SK411 dan SK306.

“Kami berharap dapat menawarkan lebih banyak gas asli, bahan api fosil terbersih, selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.