
Pengarah KWPL, Dr Ismuni Bohari berkata, jumlah kes dalam kluster OKK Awang Besar Saudi membabitkan varian Omicron meningkat daripada 13 kepada 18 kes setakat semalam.
“Jumlah kes Covid-19 bertambah berikutan kemunculan kluster baharu ini dan kami juga menjangkakan peningkatan kes dalam beberapa hari akan datang.
“Jangkaan peningkatan kes bukan sahaja disebabkan kemasukan pengembara, tetapi kemungkinan besar juga daripada pelajar memandangkan sesi persekolahan akan dibuka semula minggu depan. Oleh itu, kami memutuskan untuk membekukan cuti tahunan petugas kesihatan,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau menggesa orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan mengelak kawasan sesak dan mengamalkan penjarakan fizikal.
Katanya, seorang pelajar (dari Sabah) Kolej Matrikulasi Labuan yang dijadual memulakan semester baharu dikesan positif Covid-19 beberapa hari lalu.
“Pelajar berkenaan menjalani kuarantin dalam bilik dan kami sentiasa memantau keadaan kesihatannya serta kemungkinan berlaku jangkitan dalam kalangan pelajar lain.”
Beliau berkata, Labuan menyaksikan trend turun naik bagi kes baharu Covid-19, dengan merekodkan dua digit kes baharu pada 2 Jan, sebelum turun kepada dua dan lima kes pada 3 serta 4 Jan, kemudian meningkat semula kepada 15 kes keesokannya dan 20 kes semalam.
“Daripada 20 kes yang kami laporkan semalam (6 Jan), 18 kes daripada dua keluarga yang pulang dari Kelantan dan Sabah, ini menunjukkan pematuhan SOP semakin diambil ringan,” katanya sambil menambah petugas kesihatan (unit penguatkuasaan) akan meningkatkan pemantauan terhadap pematuhan SOP, terutamanya di premis makanan dan minuman.
Katanya, tiada pihak yang terlepas daripada kompaun, jika didapati melanggar SOP kerana pihak berkuasa bukan sahaja menyasarkan peniaga, tetapi juga pelanggan.