Kenaikan kes influenza musim ini bukan perkara luar biasa, kata MMA

Kenaikan kes influenza musim ini bukan perkara luar biasa, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia menasihatkan orang ramai bertenang dan mengambil langkah pencegahan.

sneezing flu selesema bersin
Presiden MMA Dr R Thirunavukarasu berkata situasi itu boleh dikendalikan secara berkesan dengan mengambil tindakan bertanggungjawab dan berwaspada. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Peningkatan kluster Influenza A dan B pada musim ini bukan perkara luar biasa, kata Persatuan Perubatan Malaysia.

Presidennya, Dr R Thirunavukarasu menasihatkan orang ramai bertenang dan mengambil langkah pencegahan.

Mengambil maklum Kementerian Kesihatan sedang memantau keadaan, Thirunavukarasu berkata, amalan kebersihan diri kekal benteng pertahanan terbaik, termasuk kerap mencuci tangan, menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin dan memakai pelitup muka jika tidak sihat atau berada di kawasan sesak.

“Mereka yang mengalami demam panas berterusan, batuk teruk, kesukaran bernafas, ketidakselesaan dada atau simptom tidak bertambah baik selepas beberapa hari perlu mendapatkan rawatan perubatan segera.

“Penilaian awal membolehkan rawatan tepat pada masanya dan mengurangkan risiko komplikasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, individu dalam kumpulan berisiko tinggi, termasuk kanak-kanak kecil, warga emas, wanita hamil dan individu menghidap penyakit kronik dinasihatkan berwaspada serta mempertimbangkan vaksinasi, jika ada.

“Dengan berwaspada dan mengambil tindakan bertanggungjawab, kita boleh mengendalikan keadaan dengan berkesan dan melindungi kesihatan masyarakat.”

KKM dilaporkan berkata, 97 kluster Influenza A dan B dilaporkan dalam Minggu Epidemiologi 40/2025, dari 28 Sept hingga 4 Okt lalu.

Ia peningkatan mendadak berbanding hanya 14 kluster yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, dengan majoriti membabitkan institusi pendidikan.

KKM berkata, semua negeri mencatatkan peningkatan, dengan yang tertinggi ialah Selangor (43 kluster), Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) serta Kedah (5).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.