
Pengarahnya, Dr Zaini Hussin, berkata walaupun influenza penyakit ringan dan lazimnya sembuh dalam seminggu, jumlah pesakit ke klinik menunjukkan peningkatan ketara sejak minggu epidemiologi ke-40.
“Setakat ini, tiada pesakit dimasukkan ke wad atau mengalami komplikasi serius. Namun, peningkatan kes yang datang ke klinik menunjukkan penularan aktif dalam komuniti.
“Lima kluster dikenal pasti setakat ini melibatkan institusi pendidikan dan mencatatkan 514 kes,” katanya selepas Majlis Pelepasan Operasi Selamat Paru-paru (Malam) sempena Penguatkuasaan Penuh Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 peringkat negeri di Cawangan Kawalan Kota Bharu, malam tadi.
Beliau berkata, semua kluster ialah sekolah berasrama dan penutupan asrama di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang boleh dilaksanakan jika kesihatan pelajar terjejas.
Menurutnya, sesuatu kluster influenza ditakrifkan dengan dua atau lebih kes mempunyai kaitan epidemiologi dan walaupun influenza tidak termasuk dalam senarai penyakit wajib notifikasi, pemantauan berterusan tetap dijalankan.
“Individu bergejala dinasihatkan memakai pelitup muka, selain mengelak ke tempat awam atau majlis keramaian.
“Pihak sekolah juga perlu memantau kesihatan pelajar secara konsisten dan memberi kefahaman kepada ibu bapa mengenai peranan mereka dalam mencegah penularan jangkitan.”
Katanya, jika terdapat kes di sekolah, pihak pengurusan digalak melaksanakan langkah pengasingan dan kuarantin pelajar bergejala.
“Keadaan semasa masih terkawal dan tiada kematian dilaporkan. Jabatan Kesihatan sentiasa berhubung dengan JPN bagi tindakan lanjut.”