Jabatan Kesihatan Sarawak larang petugas jadi orang tengah urus jenazah

Jabatan Kesihatan Sarawak larang petugas jadi orang tengah urus jenazah

Pengarahnya Dr Veronica Lugah ulas laporan kewujudan gengster dan 'orang dalam' bagi pengurusan jenazah hospital kerajaan di Sarawak.

bilik mayat mortuary mortuari
Sebelum ini kakitangan bilik mayat hospital diberi amaran keras tidak menerima bayaran, hadiah atau sumbangan sebagai balasan mengendalikan mayat atau memberi maklumat si mati. (Gambar KKM).
PETALING JAYA:
Jabatan Kesihatan Sarawak memberi amaran kepada petugasnya supaya tidak menjadi orang tengah dalam pengurusan jenazah, arahan dikeluarkan susulan laporan FMT berhubung dakwaan kewujudan gengster di hospital negeri itu.

Pengarahnya Dr Veronica Lugah berkata sebarang pelanggaran terhadap arahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“KKM memandang serius isu integriti dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa, atau perbuatan yang boleh menjurus kepada rasuah,” katanya dalam kenyataan.

FMT Khamis lalu melaporkan pendedahan seorang bekas doktor mendakwa kumpulan gengster yang juga ejen perkhidmatan pengurusan jenazah ‘menguasai’ bilik mayat sebuah hospital kerajaan di Sarawak sehingga mencetuskan pergaduhan dan ketegangan.

Hanya mahu dikenali sebagai Johan, bekas kakitangan awam itu berkata kumpulan gengster tersebut akan muncul selepas kematian dilaporkan di jabatan kecemasan atau wad hospital malah adakala sebelum sesuatu kematian disahkan.

Beliau berkata ada kemungkinan ‘orang dalam’ atau petugas kesihatan di bilik jenazah yang menyalurkan maklumat serta dibayar.

Pada 14 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan amaran keras kepada kakitangan bilik mayat hospital supaya tidak menerima sebarang bentuk bayaran, hadiah atau sumbangan sebagai balasan mengendalikan mayat atau memberi maklumat si mati.

Dalam pekeliling kepada semua hospital, KKM menjelaskan penerimaan wang atau bekerjasama dengan ejen perkhidmatan pengebumian boleh dianggap rasuah dan kakitangan hospital turut dilarang memberi pihak ketiga khasnya syarikat perkhidmatan pengebumian atau ejen sebarang maklumat si mati.

Veronica turut menjelaskan pengurusan jenazah di hospital kerajaan sepenuhnya di bawah tanggungjawab waris atau keluarga si mati.

“Pihak hospital tidak menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah dan keluarga diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih mana-mana syarikat mereka percayai, tanpa sebarang unsur paksaan atau campur tangan,” katanya.

Beliau turut menyatakan orang awam menyalurkan sebarang aduan berkaitan salah laku atau ketidakpatuhan oleh anggota perkhidmatan kesihatan melalui saluran aduan rasmi yang telah disediakan.

“Sekiranya ada sebarang unsur paksaan, ugutan atau perlakuan menyerupai gangsterisme, laporan polis hendaklah dibuat dengan segera supaya siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.