‘Imej SPRM tercalar, kepercayaan rakyat terhakis’, kata khutbah Jabatan Agama Islam Perak

‘Imej SPRM tercalar, kepercayaan rakyat terhakis’, kata khutbah Jabatan Agama Islam Perak

Teks khutbah mengenai isu rasuah membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibacakan dalam khutbah Solat Jumaat di seluruh Perak.

Imej dan reputasi SPRM kebelakangan ini turut tercalar dengan adanya aduan dan laporan salah laku dalam kalangan petugas di suruhanjaya itu mengakibatkan bertambah terhakis kepercayaan dan keyakinan rakyat, menurut teks khutbah Jumaat di Perak.
PETALING JAYA:
Imej dan reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini tercalar dengan pelbagai dakwaan salah laku pegawainya sehingga kepercayaan rakyat terhadap badan itu semakin terhakis, kata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Usaha mencegah dan membendung rasuah tidak memberi erti dan tidak memberi makna, jika tidak ada kesungguhan di peringkat penguatkuasaan, penyiasatan, pendakwaan dan hukuman.

“Apatah lagi jika imej dan reputasi SPRM, kebelakangan ini turut tercalar, dengan adanya aduan dan laporan salah laku dalam kalangan petugas di suruhanjaya berkenaan, yang mengakibatkan bertambah terhakis kepercayaan dan keyakinan rakyat,” kata teks khutbah itu.

Teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan JAIPk itu tidak menyebut isu Azam Baki yang dikaitkan dengan kontroversi pembelian jutaan saham oleh adik beliau menggunakan akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Khutbah itu juga tidak merujuk secara langsung kes pegawai SPRM didakwa di mahkamah Selasa lalu atas tuduhan penyelewengan wang USD6.94 juta (kira-kira RM29 juta) yang dirampas agensi berkenaan sebelumnya.

Menurut teks khutbah JAIPk, adegan “suap” dan “terima” dan suapan bertopengkan derma, hari ini, seolah-olah perkara biasa, dilakukan tanpa ada rasa malu, selain tiada langsung menunjukkan sebarang ketakutan akan hari pembalasan di Padang Mahsyar.

“Mengenakan hukuman mati bukan penyelesaian, jika hukuman tersebut hanya tinggal dalam bentuk tulisan di atas kertas. Negara sebenarnya memiliki peruntukan undang-undang yang cukup untuk mencegah dan membendung rasuah,” katanya.

Kata teks khutbah itu, negara memerlukan penyelesaian tegas dan tuntas mencegah, membendung dan menghapus barah rasuah.

“Semua pihak, secara bersama, wajib mengambil langkah berani supaya berlakunya gerakan jihad memerangi rasuah, agar negara kembali dimakmurkan dan kehidupan rakyat kembali disejahterakan,” katanya.

Sebagai pegawai tertinggi SPRM, Azam kini terpaksa mempertahankan kredibiliti beliau dan SPRM sendiri setelah terpalit dengan tuduhan yang mengaitkannya kepada pembelian lebih empat juta saham syarikat tersenarai awam menggunakan akaun dagangannya antara tahun 2015 dan 2016.

Azam menjelaskan beliau tidak terbabit dalam pembelian itu, sebaliknya akaun itu digunakan oleh adiknya Nasir bagi membeli saham berkenaan. Justeru beliau menafikan sebarang salah laku.

Semalam, Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata ia akan mendapatkan penjelasan Azam. Badan itu menegaskan setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat perlu dibuat atas nama pemilik benefisial sekuriti didepositkan.

Katanya, akaun itu juga boleh dibuka atas nama “penama yang diberi kuasa”.

Kelmarin, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) “membersihkan” nama Azam daripada sebarang salah laku, namun tindakan itu mengundang kritikan beberapa pihak yang mahukan siasatan bebas terhadap Azam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.