
Ketua Polis Daerah Kampar, Mohamad Nazri Daud berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira 5 petang Rabu.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku mula aktif mencuri besi di tepi jalan sekitar Kampar sejak seminggu lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, polis sedang memburu dua lagi lelaki berusia 40-an yang dipercayai bersama penganggur itu menjalankan kegiatan jenayah berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, aset awam seperti papan tanda Perang Dunia Kedua “Battle of Kampar” di Green Ridge itu sepatutnya dipelihara dan bukannya dicuri.
Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan memelihara aset awam yang mempunyai nilai sejarah dan maklumat serta bermanfaat sebagai bahan rujukan generasi akan datang.
“Kerajaan Perak amat kesal dengan kejadian kecurian papan tanda yang disumbang Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG). Sepatutnya masyarakat perlu memainkan peranan bersama memelihara aset awam,” katanya kepada Bernama.
Pengerus MHG, Shaharom Ahmad sebelum ini memaklumkan kepada Bernama, pihaknya kesal dengan tindakan pihak yang mencuri papan tanda tersebut tanpa menghayati elemen dan nilai sejarah berkaitan pertempuran itu.
Beliau berkata, kehilangan papan tanda informasi yang dipasang di Jalan Ipoh-Kampar itu disedari ahli persatuannya yang melalui kawasan tersebut Isnin lepas.